Pages

18 September 2011

Naratif 17:Musim Baru

Permulaan musim yang baru dengan suasana yang baru. Meniti kehidupan sebagai seoang yang lebih dewasa di alam pengajian. Belajar, bekerja sambilan, terasa lebih dekat dengan realiti kehidupan. Letih, memang letih, namun kelak pasti akan lebih berat tanggungjawab yang perlu dipikul. Tiada salahnya memikul bebanan seawal ini. Dia mencorak hidupnya sendiri, persediaan untuk masa hadapan. Dalam kesibukan tetap istiqamah menjalankan amanah sebagai khalifah, namun khuatir tersilap langkah lalu lalai mengingati Pencipta kerana dia tetap insan biasa.

Hatinya semakin jauh dari mereka. Mesra dalam tutur namun masih mencipta jurang. Senyum diukir, namun masih kekok. Entah kenapa, dia sendiri turut tertanya-tanya. Setiap kali kaki melangkah ke ruang kuliah itu, terasa diri terlalu kerdil, malu untuk menatap wajah mereka. Di hujung belakang, dia menyendiri. Pasti ada yang menganggapnya anti sosial, namun tak perlu dihiraukan pandangan orang dalam kehidupan sendiri. Itu prinsipnya. Hanya mereka yang mengenali memahami akan dirinya. Sukar sekali bibir menutur sapa, malu, segan pada mereka yang tampak hebat. 

Dia tidak sesempurna mereka yang ayu dengan kelembutan. Terkadang diusik kerana gaya yang kasar. Hati terasa, namun sabar masih setia menemani. Tidak pernah terlintas untuk berubah menjadi gadis lembut. "Aku adalah aku, biarkan aku terus menjadi aku." Bisik hati yang sedikit tercalar dek bicara sindiran mereka. Mungkin dia terlalu sensitif, tapi bukankah dia juga insan yang punya hati dan perasaan?