Pages

24 July 2011

Naratif 16: Cita-cita

Kemiskinan harta bukan satu kesia-siaan dalam kehidupan, tetapi yang menjadikan hidup itu sia-sia adalah kemiskinan azam dan tekad. Tanpa azam dan tekad, manusia akan terus berada di takuk kemunduran dan masa lampau.

'TAMAN SERI PUTERI'..sekali lagi bayangan papan tanda itu bermain di mindanya.


Dia kini seorang anak muda yang sudah melepasi zaman remajanya. Di awal kedewasaan, masih lagi mencari suatu impian. Namun masih lagi tertanya-tanya, kenapa perlu bercita-cita? Cita-citanya masih kabur, yang jelas, dia mahu menjadi seorang yang bermanfaat buat agama dan masyarakat. Tenggelam dalam satu hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." 
(HR Bukhari)
dia mulai tercari-cari akan cita-citanya sendiri. Saban hari melalui jalan utama kampungnya, tidak pernah terlepas pandang pada sebuah papan tanda. 'TAMAN SERI PUTERI'...sebuah tempat pemulihan akhlak bagi gadis-gadis bermasalah. Tempat yang sukar dimasuki tanpa pernah mendaftar di rumah biru putih. Dekat sekali dengan tempatnya. 

Manusia memang banyak ragamnya. Ada yang menyenangkan, ada yang membimbangkan. Seringkali terdetik di hatinya keinginan untuk mendekati mereka yang membimbangkan. Bukan sekadar sebagai ahli masyarakat, tetapi sebagai orang yang mampu membuka hati-hati itu kepada kebaikan dan kebenaran yang dia yakini. Mindanya kian sarat dengan persoalan kemanusiaan. Keluhan kecil mengiringi kebimbangan. 'Apa lagi yang harus ku lakukan?'..terhenti...'pernahkah aku melakukan sesuatu?'

Keadaan bumi persinggahannya kini amat membimbangkan. Dia ingin berpijak di tanah yang teguh bernaung di bawah naungan islam, bukan tanah yang melaung-laungkn status wilayah islam. Dia ingin sekali hukum-hukum Allah dilaksanakan di bumi yang dia pijak ini, kerana dia yakin, hanya dengan terlaksananya hukum-hukum Allah, sesebuah negara itu mendapat keharmonian yang hakiki!

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih atas pandangan dan kritikan anda. :-)