Iman secara harafiah dalam islam adalah bererti percaya kepada Allah SWT. Dengan itu orang yang beriman adalah ditakrifkan sebagai orang yang percaya (mukmin). Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Perkataan iman diambil dari kata kerja ‘aamana’---‘yukminu’ yang bererti ‘percaya’ atau ‘membenarkan’. Perkataan iman yang bererti’ menbenarkan’ itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam surah At-Taubah ayat 62 yang bermaksud ;
‘’Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah SWT dan membenarkan kepada para orang yang beriman.’’
Imam al-Ghazali menghuraikan makna iman sebagai;
"Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota).’’
Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan satu sahaja dari yang tiga itu, maka, sudah lainlah nama yang islam berikan pada seseorang itu, iaitu fasik, munafik atau kafir.
PERCAYA KEPADA ALLAH SWT
Konsep yang paling asas ialah percaya bahawa tuhan itu satu (tauhid). Konsep keesaan Allah ini adalah mutlak, dan tidak relatif kepada apa-apa jua yang wujud di dunia ini.
Firman Allah SWT;
Maksudnya:
"Katalah(wahai muhammad) bahawa Allah SWT itu tunggal. Allah SWT tempat meminta. Tidak Dia beranak dan tidak juga Dia diperanakan. Dan tiada yang serupa denganNya, Dialah tuhan yang Esa."
Dalam Bahasa Melayu, perkataan Allah SWT sememangnya dikhaskan untuk merujuk Tuhan dalam islam. Walaubagaimanapun, perkataan Arab Allah SWT boleh diterjemahkan juga kepada perkataan Tuhan kerana Allah SWT bukanlah nama khas untukNya. Ini berbeza dengan yahudi kerana nama Yahweh adalah nama khas Tuhan mereka. Walaupun tiada imej visual Tuhan atau gambaran mengenaiNya (disebabkan larangan dalam memuja sesuatu), muslim mendefinisi Tuhan melalui sifat-sifatNya, yang dikenali sebagai 99 nama Allah SWT.
Allah SWT yang mencipta seluruh alam dan isinya. Allah SWT yang mengatur dan menjaganya. Allah SWT tidak boleh dilihat, tetapi bukti-bukti sangat banyak untuk menunjukkan pada akal yang waras dan adil bahawa Allah SWT itu wajib ada. Jika kita tidak mengenal Allah SWT dengan betul, nescaya akan sesat dan kafirlah kita.
Firman Allah SWT;
Maksudnya:
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah mencipta kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
Ertinya bahawa Allah SWT itu adalah pencipta setiap benda yang ada di alam ini termasuk bumi, langit dan planet-planet lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah SWT.
PERCAYA KEPADA MALAIKAT
Rukun iman yang kedua ialah percaya kepada malaikat. Setiap muslim wajib mempercayai adanya malaikat. Malaikat juga adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan dari cahaya. Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul. Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan makhluk yang lain. Ia berakal, boleh berkata-kata dan boleh bergerak ke suatu jarak yang jauh dalam masa yang singkat. Keadaan malaikat semata-mata adalah untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah. Malaikat itu tidak makan dan minum, tidak mengantuk dan tidur, tidak juga berasa penat dan letih.
Malaikat sangat banyak bilangannya dan Allah sahaja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu tauhid, umat islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka. Iaitu :
Jibrail :
Tugasnya membawa wahyu dari Allah SWT kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, air bah, ribut dan lain –lain lagi.
Mikail:
Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan, mengeluarkan hasil galian bumi.
Israfil :
Tugasnya untuk meniup “sangkakala” ketika s.ampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur dab sekali lagi ia meniup “sangkakala” itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.
Izrail : Tugasnya ialah mengambil nyawa, iaitu mematikan apabila sudah sampai ajal, dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat dan tidak akan lewat sesaat.
Mungkar dan Nakir :
Tugasnya menyoal manusia di alam kubur tentang amal perbuatan mereka saat masih hidup.
Raqib :
Tugasnya ialah menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan
‘Atid :
Tugasnya adalah untuk menulis dosa bagi orang yang membuat mumngkar dan kejahatan
Ridhwan : Tugasnya menjaga pintu syurga
Malik : Tugasnya menjaga pintuneraka.
Malaikat dijadikan Allah SWT untuk menjalankan tugas-tugas yang tertentu dan berlainan. Setiap tugasan yang diberikan Allah SWT kepada malaikat, akan dilakukan oleh malaikat tanpa kompromi.
Zaman sekarang, sudah ada orang yang mendakwa mampu menghalang tugas malaikat. Ada yang mendakwa boleh “slow talk” dengan ‘Izrail untuk mencabut nyawa seseorang. Sedangkan ‘Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa, apabila sudah sampai ajal seseorang sebagaimana yang tertulis di Lauh Mahfuz, ‘Izrail akan menjalankan perintah yang Allah arahkan dengan mencabut nyawa makhluk tersebut, tidak cepat sesaat dan tidak lewat sesaat. Begitulah yang diperjelaskan dalam ilmu Tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah.
Percaya adanya Malaikat yang telah dicipta oleh Allah SWT untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT mencipta Malaikat dari Nur iaitu cahaya. Maka, Malaikat tidak terdiri daripada jisim dan tidak diberikan nafsu untuk makan, minum atau tidur. Malaikat juga tidak mempunyai jantina.
PERCAYA KEPADA KITAB-KITAB ALLAH SWT.
Salah satu daripada Rukun Iman agama Islam adalah percaya kepada kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah SWT.
Orang Islam percaya bahawa Allah SWT telah menurunkan kitab-kitab kepada para Nabi dan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Ia diakhiri dengan kitab Al-Quran.
Kitab-Kitab yang wajib diketahui adalah:
Taurat : Diturunkan kepada Nabi Musa a.s
Zabur : Diturunkan kepada Nabi Daud a.s
Injil : Diturunkan kepada Nabi isa a.s
Al-Quran : Diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Orang Islam percaya bahawa pada masa kini, kitab-kitab selain Al- Quran telah diubahsuai mengikut kehendak pihak-pihak tertentu; maka ia bukan lagi naskah-naskah yang tulen. Al-Quran menyempurnakan segala kitab-kitab yang terdahulu.
PERCAYA KEPADA NABI DAN RASUL
Beriman kepada Nabi dan Rasul ialah menyakini bahawa Nabi dan Rasul itu benar-benar diangkat oleh Allah SWT untuk membimbing manusia kearah jalan hidup yang baik yang diredhai Allah SWT. Islam mengajar umatnya bahawa Allah SWT menyampaikan wahyuNya melalui malaikat kepada Nabi dan Rasul. Nabi ialah seorang lelaki yang dipilih Allah untuk menerima wahyu untuk kegunaan dirinya dan umatnya sahaja.
Rasul dan Nabi merupakan manusia biasa. Islam menghendaki penganutnya untuk mempercayai setiap Nabi dan Rasul dan tidak membezakan mereka antara satu sama lain. Rasul pula merupakan seorang lelaki yang dipilih untuk menerima wahyu untuk dirinya serta disampaikan kepada orang lain. Terdapat 313 orang telah dipilih sebagai Rasul sejak bermulanya penciptaan manusia. Manakala bilangan Nabi pula adalah 124,000 orang (termasuk Rasul). Terdapat 25 rasul yang wajib diketahui oleh setiap muslim.
Muhammad merupakan Nabi dan Rasul yang terakhir. Ini bermakna tiada Nabi dan Rasul akan dilantik selepas kewafatan baginda. Baginda telah menyampaikan peringatan terakhir (iaitu Al-Quran dan As Sunnah) kepada manusia sebelum berlakunya hari kiamat.
Diantara 25 Rasul, terdapat 5 orang rasul Ulul Azmi. Ulul Azmi adalah gelaran yang diberi kepada rasul Allah SWT yang memiliki keteguhan hati, ketabahan dan kesabaran yang luar biasa dalam menyampaikan risalahnya. Rasul Ulul Azmi terdiri daripada Nabi Muhammad S.A.W, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Nuh.
Secara umumnya, tugas Nabi dan Rasul adalah membawa kebenaran, memberi khabar gembira dan peringatan kepada umatnya agar mereka menjadi umat yang beriman kepada Allah SWT. Para Rasul diberi wahyu oleh Allah SWT yang membuktikan bahawa mereka adalah pembimbing dalam segala amal perbuatan dan layak dijadikan cermin tauladan.
Rasul dan Nabi diutus kepada umat manusia agar umat manusia mengenali Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta alam ini. Dengan adanya Rasul dan Nabi, manusia akan kenal dengan tepat dan siapa Tuhan yang sebenar, serta faham pula kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikan sebagai seorang makhluk yang diciptakan Allah SWT. Setiap ajaran para nabi dan rasul mengajak umat manusia ke arah satu matlamat, iaitu Mardhatillah, mencari keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Jika seseorang yang diciptakan Allah SWT tidak kenal siapa Tuhannya yang sebenar dan tidak mengakui keagungannya dengan jalan yang sebenar, nescaya sesatlah dirinya dan segala amal kebajikan yang dilaksanakannya tiada nilai disisi Allah SWT.
Sifat- Sifat Rasul dan Nabi
Ada 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi. Ada 4 sifat yang mustahil bagi Rasul/Nabi. Ada satu sifat yang harus bagi Rasul/Nabi.
1. SIDDIQ (الصدق ) maknanya Benar.
Apa yang disabdakan oleh Rasul/Nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Rasul/Nabi tidak berkata-kata melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KIZZIB (الكذب) yang bermaksud dusta. Mustahil Rasul/Nabi mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui dan tidak diwahyukan Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tidaklah dia (Rasulullah SAW) mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4)
2. Sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi yang seterusnya adalah AMANAH ( الامانة ).
Rasul/Nabi akan melakukan sesuatu serta melaksanakan hukum-hukum Allah SWT dengan benar dan tepat sebagaimana yang diwahyukan Allah SWT. Maka mustahil Rasul/Nabi bersifat KHIANAT ( الخيانة) iaitu menyalahi perintah Allah dan derhaka kepadaNya.
3. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat TABLIGH ( التبليغ) iaitu menyampaikan.
Rasul/Nabi menyampaikan kepada umatnya apa yang Allah SWT wahyukan kepadanya. Mustahil Rasul/Nabi bersifat KITMAN ( الكتمان) iaitu menyembunyikan.
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk,setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab,mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat melaknati. (QS. Al Baqarah : 159 )
4. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat FATANAH (الفطانة) iaitu bijaksana.
Rasul/Nabi mampu memahami perintah-perintah Allah SWT dengan betul dan tepat. Mampu berhadapan dengan penentang-penentangnya dengan bijaksana dengan bukti-bukti yang kukuh. Mustahil Rasu/Nabi bersifat BALADAH (البلادة) iaitu tidak cerdas dan pelupa.
SIFAT JAIZ BAGI RASUL
Sifat jaiz bagi para rasul ialah sifat-sifat fitrah atau umum manusia yang tidak mengurangi darjat kedudukan mereka seperti makan, minum, tidur, kahwin, beristirehat, sakit yang ringan dan sebagainya.
Para Nabi dan Rasul terpelihara daripada prilaku dan sifat yang boleh merendahkan derajat kerasulan. Inilah yang membezakan antara mereka dengan manusia yang lain.
Allah berfirman, ”Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. (al-Furqon, 20)
5) PERCAYA KEPADA HARI AKHIRAT
Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fikir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikannya, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah SWT menerangkan kedudukan hari akhirat ini.
Pola beriman kepada hari akhirat itu terdiri terbahagi kapada lima fasa:
1. Tahap kehancuran segala makhluk yang ada di muka bumi. Dalam proses kehancuran ini akan terjadilah gempa bumi, dimana gunung-gunung menjadi debu berterbangan, air laut men didih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia sedang mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk samada yang bernyawa atau tidak, hanya Allah SWT yang kekal.
2. Hari kebangkitan dimana semua manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan dipadang mahsyar.
3. Diperlihatkan seluruh amal perbuatan didunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah.
4. Hari menghisab didepan mahkamah keadilan Allah SWT, dimana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiaan.
5. Hari keputusan dimana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal denga amalannya. Disini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan akan ditempatkan di syurga dan yang banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka yang penuh azab sengsara
Beriman kepada hari Akhirat membawa kesan positif kepada manusia kerana ia mengajar manusia beramal soleh. Manusia soleh akan memberi manfaat sesama insan, kebaikan yang dibuat bukan untuk mencari populariti diri dan bukan mengharap balasan material, malah mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Maka akan lahirlah manusia bertaqwa dan sanggup menghadapi segala rintangan hidup sebagai ujian Allah SWT kepada mereka.
Tanda-tanda kiamat:
6) PERCAYA KEPADA QADA’ DAN QADAR
Qada’ dan qadar merupukan rahsia Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Walaupun ia merupakan satu ketetapan daripada Allah SWT, tetapi manusia disuruh berusaha dan berikhtiar untuk memperoleh apa yang dicita-citakan. Setiap umat perlu memahami bahawa setiap perkara yang berlaku ada sebab dan musababnya. Setiap yang berusaha akan beroleh kejayaan dan sesiapa yang malas akan menemui kegagalan. Kurniaan Allah SWT adalah menurut kehemengikut kudrat dan iradatNya
.
Qada’
Qada adalah perlaksanaan atas ketetapan (Qadar) yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi bagi semua makhluk dan segala hal yang berlaku.
Qada, terbahagi kepada 2 iaitu;
Qada’ Mubram ; iaitu Qada’ yang tidak berubah.Ia berlaku mengikut perancangan Allah yang telah ditetapkan sejak azali lagi dan tidak dapat ditolak kerana manusia tidak diberi kuasa dan daya untuk menahannya.
Qada’Mu’aalaq: iaitu Qada’ yang boleh berubah dan bergantung dan berkaitan dengan usaha ikhtiar manusia dan kita diberi kebebasan memilihnya (penilaian akal berdasarkan pilihan tindakan),bahkan kita diberitahu supaya memilih perkara yang mendatangkan manfaat dan kesudahan yang baik dan jangan memilih perkara yang mendatangkan mudarat dan akibat yang buruk.
Qadar
Qadar merupakan ketetapan atau perancangan Allah SWT yang azali bagi semua makhluk dan segala hal yang berlaku. Ketetapan azali itu ialah sebab bagi berlakunya musabab atau kejadian benda.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih atas pandangan dan kritikan anda. :-)